Persediaan kembali bekerja

As-salam,

Ada ke mommy-mommy yang dah nak habis berpantang? Macam mana pengalaman berpantang, seronok tak? Kalau tanya aku, tentu aku suka berpantang sebab masa tu boleh spend time sepenuh masa dengan anak. Tapi ada juga yang kata bosan. Pulak dah? Sebab tak dapat berjalan ke? Masa aku berpantang naurah dulu, lepas je sebulan, memang every weekend aku keluar berjalan. Hiii. Bawa la si kecik yang still dalam pantang tu. Tak susah pun.

Ok kali ni nak bercerita tentang persediaan para ibu untuk kembali bekerja. Sepanjang berpantang kita dah susukan anak, jadi apa kata teruskan lepas kembali bekerja nanti. Jadi apa yang di perlukan? Macam mana nak teruskan penyusuan kalau stok susu tak banyak? Anak tak nak minum dari botol, macam mana? Jom kita bincang satu persatu.

Pam susu, perlu ke?

Jawapan aku perlu. Seeloknya sediakan pam susu sebelum bersalin lagi. Jangan fikir tentang berbaloi atau tidak, rugi atau tidak. Pam susu memang merugikan jika di beli namun tidak di gunakan. Betul kan? Jadi bila dah membeli, gunakan sebaiknya. Kini terdapat banyak jenama pam di pasaran yang mampu di miliki. Beli ikut kemampuan dan keperluan namun pam tersebut haruslah yang berkualiti. Dapatkan nasihat dan testimoni daripada pengguna sebelum membeli sesuatu jenama. Sebaiknya beli yang boleh double pumping untuk menjimatkan masa bila telah kembali bekerja nanti. Kadang-kadang biarlah alah membeli asalkan menang memakai.  

Kenapa aku katakan perlu ada? Kerana kita tidak pasti keadaan kita selepas bersalin nanti. Aku ceritakan pengalaman aku dulu. Lepas bersalinkan naurah, naurah terpaksa di tahan di NICU selama 6 hari kerana masalah kuning dan berat badan yang berkurangan. Ketika itu, aku masih jahil tentang ilmu penyusuan susu ibu. Memang aku ada beli pam, namun pam yang di beli langsung tidak membantu. Pam tersebut tiada daya isapan seperti bayi. Sakitnya ketika mengepam namun langsung tiada susu menyebabkan aku hampir give up. Hasilnya, sepanjang di NICU, naurah di suapkan dengan susu formula.

Pam sangat membantu bagi menyediakan stok susu. Ingat, mulakan mengumpul stok susu dari awal lagi. Tapi kalau korang tinggal lagi 2 minggu je bercuti sebelum kembali bekerja, jangan panik. Masih belum terlewat untuk mula mengumpul stok. Mulakan sekarang. Jangan risau tentang tak cukup susu untuk anak jika dah mula mengepam. Lebih kerap kita kosongkan breast, lebih kerap signal akan di hantar ke otak untuk menghasilkan lebih banyak susu. Atau, lebih mudah, pam ketika menyusukan anak. Dengan cara ini anda seolah-olah membuat double pumping. Rangsangan bayi akan membuatkan lebih banyak susu di hasilkan. Cuba la, in sha allah anda akan lebih mudah mengalami Let-Down Reflex.

Bila dah kembali bekerja nanti, rajin-rajinkan diri untuk mengepam susu. Sekurang-kurangnya 2 kali di ofis atau sebaik-baiknya 3 kali. Waktunya adalah pagi, tengahari dan petang. Selalu ada yang cakap, susu makin kurang. Tapi bila di tanya tentang jadual mengepam, semada hanya mengepam sekali tau langsung tidak pam. Macam mana nak maintainkan susu jika tidak konsisten. Ingat konsep asas penyusuan, DEMAND VS SUPPLY. Perkara ini mungkin sukar bagi sesetengah orang, namun bagi mommy yang tekad ingin menjayakan penyusuan susu ibu, walau sesukar manapun dugaan, pasti mereka sanggup hadapinya. Memang bukan mudah untuk menjayakannya. Namun ianya amat berbaloi.

Menyimpan stok.

Selain pam, korang juga perlukan alatan-alatan lain untuk menyimpan stok susu. Selain menggunakan botol, plastik susu juga boleh digunakan. Plastik susu mampu menjimatkan ruang. Make sure gunakan plastik bebas BPA ye. Ada sesetengah ibu menggunakan plastik ais krim, namun itu tidak digalakkan. Dan make sure gunakan plastik tu hanya sekali je bagi memelihara hygine susu. Pastikan korang handle susu perahan dengan berhati-hati. Kadang-kadang cara penyediaan yang tidak betul boleh mengakibatkan EBM tercemar. Jadi jaga kebersihan peralatan penyusuaan dan pastikan mencuci tangan setiap kali sebelum dan selepas mengepam susu.

Berikut adalah jadual penyimpanan susu ibu perahan.



Selain itu, korang juga pasti memerlukan cooler bag dan ice pack bagi menyimpan sementara susu yang telah di pam di pejabat. Pastikan cooler bag dan ice pack mampu bertahan dan kekal sejuk hingga korang kembali ke rumah. Ini adalah bagi memastikan EBM kekal segar dan tidak tercemar.



contoh cooler bag dan ice pack

Mengajar anak menggunakan botol kadang kala boleh menjadi cabaran yang hebat buat sesetengah ibu. Aku tak nafikan sebab naurah memang susah nak terima botol. Silapnya kerana aku tak mengajar dia minum EBM ketika di dalam pantang. Namun jangan di beri botol terlalu awal, takut baby alami niple confuse dan akan menolak direct feeding. Oleh itu, cuba ajar anak menggunakan botol di bulan ke dua. Minta bantuan orang lain untuk memberikan susu pada anak. Mulakan dengan memberi fresh EBM di waktu pagi. Memadai dengan hanya memberi sekali EBM pada hari pertama. Tingkatkan pemberian EBM pada hari ke dua dan seterusnya. Berikan secara konsisten. Mungkin anak akan menolak pada kali pertama. Namun jangan putus asa. Jika anak masih menolak, cuba tukar puting botol. Ada juga yang memberikan EBM menggunakan sippy cup. Namun bagi yang menghantar anak ke nursery atau baby sitter, cara penggunaan botol lebih baik kerana mereka pasti menjaga bayi lebih dari seorang.

Ingat jangan mudah berputus asa dalam menjayakan penyusuan susu ibu. Untuk berjaya perlu ada ilmu. Oleh itu gali ilmu penyusuan sedalam mungkin. Dengan ilmu, kita mudah menepis pandangan negatif masyarakat sekeliling yang tidak menyokong penyusuan susu ibu. Dengan ilmu, kita tidak mudah berputus asa dan dengan ilmu, kita akan sentiasa berkeyakinan.

Minum air yang secukupnya, jaga permakanan, dan yang penting banyakkan selawat dan berdoa agar di permudahkan perjalanan 2 tahun penyusuan susu ibu. Semoga berjaya.

**********************************************************************************

Ingin tahu tentang produk Shaklee, boleh hubungi:

Pengedar Sah Shaklee Ampang : Mardiani (Shaklee ID 1091078)

Facebook : d.ni.vitaminsihat

Whatsapp : 018-2684992


Comments

Popular posts from this blog

Naurah's 4th year birthday party di A&W

Smart Reader Kids

Resepi makanan bayi | Ikan merah masak tomato